SELAMAT DATANG KE BLOG SK SEDC, SIBU

28 August 2009

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSR ZON BANDAR SIBU KE 37 TAHUN 2009






Salam sejahtera semua warga SK SEDC, Sibu.
Seramai 28 buah Sekolah Rendah (SK & SJK) dalam bandar Sibu telah berentap dalam Kejohanan Olahraga Antara Sekolah (MSS Bandar Sibu) selama dua hari mulai 05 Ogos 2009 hingga 06 Ogos 2009 di Stadium Tun Ahmad Zaidi, Sibu.
Dalam kejohanan tersebut, SK SEDC, Sibu telah mencipta sejarah tersendiri dengan menduduki tempat ketiga secara keseluruhan daripada 28 buah sekolah yang mengambil bahagian. Ini merupakan pencapaian terbaik yang pernah dihasilkan oleh sekolah ini. Dalam kejohanan tersebut, atlet-atlet lelaki kategori B dan perempuan kategori B sekolah ini telah mengharumkan nama sekolah dengan masing-masingnya menjadi johan dan menduduki tempat ketiga secara keseluruhan. Pelari berganti-ganti 4 X 100 meter & 4 X 200 meter lelaki kategori B sekolah ini juga layak mendapat pujian kerana telah berjaya memadamkan rekod kejohanan untuk kedua-dua acara tersebut.
Secara keseluruhannya, kontigen sekolah tahun ini telah berjaya merangkul 6 pingat emas, 4 pingat perak dan 5 pingat gangsa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlet dan semua jurulatih sekolah yang telah berusaha dengan begitu gigih untuk mencapai kejayaan ini. Semoga kejayaan yang kita capai tahun ini menjadi titik permulaan dan perangsang bagi sekolah kita mencapai keputusan yang lebih gemilang pada tahun-tahun akan datang.
TAHNIAH SEKALI LAGI KEPADA SEMUA WARGA SK SEDC, SIBU . SEDC BOLEH !
(Gambar Pertama-Dari Atas: Kontigen SK SEDC, Sibu bersama jurulatih dan Guru Besar - En. Tan Kuang Wui. Kelihatan juga dalam gambar dua piala yang berjaya dimenangi tahun ini, Gambar Kedua : Kelihatan Jurulatih Kontigen SK SEDC, Sibu-Ustaz Mohd Azrul dan Cikgu Geraman bersama atlet-atlet yang lain bersorak kegembiraan ketika melihat anak didik mereka mengecapi kejayaan di garisan penamat, Gambar Ketiga : Debaran jelas kelihatan di air muka dua jurulatih SK SEDC, Sibu - Cikgu Morris & Cikgu Hanita ketika melihat atlet-atlet didikan mereka bersaing sengit di trak, Gambar Keempat : Wira-wira SK SEDC, Sibu yang berjaya memadamkan rekod kejohanan 4 x 100 meter dan 4 X 200 meter lelaki Kategori B.

HEBAHAN PENGAMBILAN PEG. PERKHIDMATAN AWAM UNTUK BERKHIDMAT SBG. JURULATIH SENI GRED 29-44 (JAW TERBUKA) DI SEK. SENI M'SIA JOHOR BAHRU & KUCHING

Salam sejahtera semua warga SK SEDC, Sibu dan Selamat berpuasa untuk warga sekolah yang beragama Islam.
Sukacitanya dimaklumkan bahawa Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) KPM bertanggungjawab dalam urusan pengambilan Jurulatih Seni bagi kedua-dua Sekolah Seni, iaitu Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru (SSeMJB) dan Sekolah Seni Malaysia Kuching (SSeMK). Sehubungan itu, Bahagian BSSK mempelawa Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Awam yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai Jurulatih Seni di SSeMJB dan SSeMK mulai Januari 2010. Bagai guru-guru yang berminat, sila dapatkan Jadual Kerja Pengambilan Jurulatih Seni 2010 bagi Sekolah Seni Malaysia, Syarat-Syarat Kemasukan dan Borang Permohonan dari kerani sekolah pada waktu pejabat. Borang permohonan yang lengkap diisi perlu dihantar melalui Guru Besar untuk mendapat sokongan sebelum dipanjangkan ke Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) di JPN dan seterusnya dihantar ke BSSK, KPM untuk pertimbangan dan kelulusan. Tarikh tutup permohonan di peringkat JPN, Sarawak ialah pada 02 September, 2009
Sebarang pertanyaan mengenai urusan pengambilan ini bolehlah menghubungi Urusetia Pengambilan, Puan Sazlina binti Mohad Tajri di Talian 03-888441026 / 0123536244
Sekian, harap maklum.

24 August 2009

SEAMEO - JASPER RESEARCH AWARD 2009

Salam Sejahtera dan Selamat berpuasa untuk semua warga SK SEDC, Sibu
Sekretariat SEAMEO menawarkan SEAMEO JASPER AWARD 2009 yang bertemakan Teachers: Professional Development in Southeast Asia.
SEAMEO JASPER RESEARCH AWARD merupakan geran tahunan yang disumbangkan oleh Kerajaan Kanada dan Sekretariat SEAMEO untuk kajian yang dijalankan oleh warga-warga dari Negara Anggota SEAMEO. Kajian yang terpilih akan menerima hadiah Cdn 250,000.00 dan sebuah plak penghargaan yang akan disampaikan semasa Persidangan Majlis SEAMEO di Filipina pada Januari 2010
Bagi warga sekolah ini yang berminat, sila dapatkan SEAMEO-JASPER RESEARCH AWARD ANNOUNCEMENT 2009 dan SUBMISSION FORM dari kerani sekolah pada waktu pejabat.. Submission Form bolehlah dihantar terus ke SEAMEO Sekretariat pada atau sebelum 30 Oktober 2009 seperti alamat berikut:
2009 SEAMEO-JASPER RESEARCH AWARD
THE DIRECTOR
SEAMEO SECRETARIAT
MOM LUANG PIN MALAKUL CENTENARY BUILDING
920 SUKHUMVIT ROAD
BANGKOK 10110, THAILAND
Tel: +66 (0) 2391-0144
Fax: +66 (0) 23812587

LARANGAN MENGGUNAKAN PENGARUH LUAR UNTUK MENDAPATKAN SESUATU JAWATAN NAIK PANGKAT DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Salam sejahtera dan selamat berpuasa kepada semua warga SK SEDC, Sibu.
Berikut di sampaikan intipati surat siaran/ surat pekeliling dari KPM berkenaan perkara yang tertera di atas merujuk kepada surat bil. KP. SULIT(TT)0163 JLD.2(41) bertarikh 12 Jun 2009 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk makluman semua staf.
Intipati surat:
Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh
"(h) membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awam, samada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain"
Walau bagaimanapun masih terdapat segelintir warga KPM yang terdiri daripada PPPS, PPPDL dan AKS yang telah cuba menggunakan pengaruh-pengaruh luar supaya nama mereka dipertimbangkan untuk menyandang sesuatu jawatan gred kenaikan pangkat di Kementerian ini. Jika perkara ini tidak dibendung dan dikawal, dikhuatiri ia boleh memberi satu gambaran yang kurang sihat di kaca mata orang ramai bahawa prinsip-prinsip pemangkuan dan penempatan seseorang PPPS atau PPPDL atau AKS untuk menyandang sesuatu jawatan gred kenaikan pangkat di Kementerian ini dibuat tanpa berasaskan kepada sesuatu kriteria yang jelas dan 'transparent' tetapi boleh dipengaruhi oleh pihak-pihak luar yang berpengaruh serta berkepentingan.
Mesyuarat Pengurusan KPM pada 03 Jun 2009 telah memutuskan mana-mana PPPS, PPPDL dan AKS yang berkhidmat di KPM yang cuba menggunakan pengaruh-pengaruh luar untuk mendapatkan sesuatu jawatan gred kenaikan pangkat di kementerian ini akan diambil tindakan prosiding tatatertib ke atas mereka.